KENALI PM KE-9
Anak penoreh getah jadi Perdana Menteri Malaysia
Dalam herarki calon perdana menteri nama Ismail Sabri Yaakob hampir tidak menjadi titik fokus media untuk dicanang selaku Perdana Menteri. Apatah lagi, dalam hierarki UMNO beliau baru beberapa tahun meniti tangga jawatan sebagai Naib Presiden parti. Namun setelah diberi perluang memegang portfolio penting oleh perdana menteri ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku menteri kanan seterusnya dilantik menjadi timbalan perdana menteri, beliau antara yang paling layak menggantikan PM ke-8.
Malah, berbanding dengan kebanyakan Perdana Menteri lain yang mungkin dilahirkan di atas 'dulang emas' atau pun daripada keluarga bangsawan, Ismail Sabri hanyalah anak kepada seorang penoreh getah.
Kehidupan mereka sekeluarga bukanlah sesenang yang disangka. Sumber pendapatan mereka hanyalah hasil torehan getah di ladang milik mereka sendiri.
Harga sekeping getah skrap berapa sen sahaja tetapi cukup untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Dilahirkan pada 18 Januari 1960 di Kampung Bukit Tingkat, Temerloh, Pahang, Ismail Sabri adalah bongsu daripada tujuh beradik.
Namun, kata orang tuah ayam nampak dikaki tuah manusia siapa yang tahu.
Hari ini, Ismail Sabri anak kepada pasangan pasangan Yaakob Abdul Rahman dan Wan Nah Wan Mamat melakar sejarah apabila mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Budak kampung sejati
Mengenang kembali kehidupan Ismail Sabri sejak kecil, anak saudara beliau Azhar Mohamed, 56, menggambar Ismail Sabri seorang budak kampung sejati yang biasa berkubang di sungai dan bermain di paya.
Malah ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bangau, Ismail Sabri merupakan harapan sekolah dan sering mendapat nombor satu dalam peperiksaan.
"Oleh kerana jarak usia kami tidak jauh beza, ketika kecil, bapa saudara saya itu adalah rakan sepermainan di Kampung Bukit Tingkat. Kami suka mandi sungai dan main di paya.
"Ismail Sabri seorang yang berani. Budak kampung biasa la. Kalau terjun dari tebing sungai itu menjadi mainannya.
“Waktu itu tiada televisyen di rumah. Kami berdua pergi tengok wayang di Panggung Seri Termerloh. Masa itu tahun 70-an, popular dengan cerita koboi. Ismail Sabri sangat suka cerita koboi.
“Kami masuk percuma kerana tiada bayaran dikenakan kepada kanak-kanak,” katanya mengimbau kenangan lalu.
Azhar menjelaskan, pada era 70-an, bapa Ismail Sabri membuka kedai runcit di Temerloh sementara ibu pula menjual buah-buahan di pasar Temerloh.
“Ismail Sabri ini minat dengan berniaga. Dulu dia sekolah menengah di Kuantan. Cuti sekolah sahaja dia akan tolong ibu bapanya meniaga.
“Dia juga meniaga ais krim dan meniaga permainan tikam,” katanya sambil ketawa mengenangkan peristiwa lalu.
Azhar mengakui berbangga kerana selepas berpuluh tahun terlibat dan jatuh bangun dalam dunia politik, hari ini Ismail Sabri mengakhiri kekusutan politik tanah air selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan pada Isnin.
Naib Presiden UMNO itu meraih 114 sokongan ahli Parlimen yang terdiri daripada UMNO (37); Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (31); Pas (18); GPS (18); MCA (2): Bebas (4) dan masing-masing satu daripada PBRS, PBS, Star, dan MIC.
“Saya bagi pihak orang kampung, sangat bersyukur dan ia satu kebanggaan pada orang Kampung Bukit Tingkat kerana berjaya naik di peringkat tertinggi dalam dunia politik.
“Semua orang kampung suka dengan pencapaiannya itu,” katanya kepada Sinar Premium.
Credit : https://premium.sinarharian.com.my/ampArticle/153062
=======================���
No comments:
Post a Comment