Sesekali Cikgu Zulk menulis
MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU ~ Menyantuni Sejarah Bahasa
-------------------------------------------
Sebelum kedatangan Islam, bahasa
Arab hanya berkisar dalam kalangan masyarakat jahiliah Makkah dan
persekitarannya sahaja. Kedatangan Islam
membuka lembaran baharu terhadap bahasa Arab. Turunnya Al – Quran dengan
membawa kosa kata baru dengan jumlah yang sangat luar biasa banyaknya menjadikan bahasa Arab
sebagai suatu bahasa yang telah sempurna baik dalam mufradat, makna, gramatikal
dan ilmu –ilmu lainnya. Seterusnya bahasa Arab berkembang dengan pesat sebagai
bahasa pertuturan dan bahasa agama.
Perkembangan bermula dari dunia Arab seterusnya melingkari seluruh dunia. Bahasa
Arab berkembang selari dengan perkembangan Islam. Pada zaman kebangkitan Islam,
bahasa Arab berkembang melalui pembedahan Al-Quran terhadap cabang-cabang
disiplin ilmu pengetahuan baik ilmu agama ataupun ilmu pengetahuan lainnya.Pada
zaman ini muncul tokoh-tokoh ilmuan
islam seperti Ibnu Sina, Al-Khwarizmi dan banyak lagi yang merancakkan perkembangan ilmu dalam
bidang Sains, atematik, Ilmu Pelayaran
dan Astronomi. Bahasa Arab menjadi
semakin dominan dengan wujudnya Universiti Al-azhar. Bahasa Arab pada ketika
ini menjadi bahasa ilmu yang penting sedangkan bangsa eropah masih melalui zaman gelapnya.
Kemenangan bangsa Eropah dalam
perang Salib telah mengubah senario ini. Banyak khazanah ilmuan Islam telah
dirampas dalam perang Salib. Khazanah-khazanah ini kemudiannya diceduk oleh
barat menyikut acuan mereka sendiri. Akhirnya bangsa Eropah bangun dari
kegelapan dengan membawa mesej bahasa Inggeris
sebagai bahasa ilmu. Bahasa Inggeris terus berkembang sebagai bahasa ilmu sehingga zaman mutakhir ini.
Collins (1995) dalam kritiknya
terhadap pertanyaan “Wajarkah bahasa Melayu diantarabangsakan” yang diajukan
oleh seorang wartawan akhbar setempat kepadanya menegaskan bahawa bahasa Melayu tidak perlu diantarabangsakan kerana
bahasa Melayu memang sudah bertaraf antarabangsa. Kenyataan beliau
sebenarnya merujuk kepada kejayaan bahasa Melayu mencapai taraf antarabangsa sejak lebih 1300 tahun
lalu. Pembuanaan bahasa Melayu sejak zaman kegemilangan kerajaan Sriwijaya
dahulu lagi. Kesinambungan kegemilangan bahasa Melayu diteruskan pada zaman
kegemilangan Melaka sehingga kejatuhan kerajaan Melaka pada tahun 1511.
Kegemilangan bahasa Melayu pada suatu waktu dahulu dibuktikan sejak abad ke-15
apabila Dinasti Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut
meliputi bahasa Melayu dan hasil awalnya ialah penyusunan daftar kata
China-Melayu. Kemudian muncul pula Antonio Pigafetta dengan penyusunan daftar kata Itali-Melayu
pada abad ke-16 dan diikuti oleh usaha
menyusun buku pelajaran bahasa
Melayu oleh orang Belanda, F. de Houtman
pada abad ke-17.
Dasawarsa
ini, bahasa Melayu kian hilang
taringnya. Biarpun bahasa ini menduduki ranking ke-4 dari segi jumlah
penggunanya dalam dunia tetapi bahasa Melayu masih terkapai-kapai dalam bersaing dengan bahasa
lain untuk mengukuhkan
kedudukannya sebagai satu bahasa yang penting di dunia.
Penggunaannya menjadi semakin terpinggir sama ada oleh orang lain atau penutur
asli sendiri. Malah ada kalangan
penutur jadi yang menggunakan bahasa Inggeris
sebagai bahasa kedua beranggapan
bahasa Inggeris lebih berupaya untuk meningkatkan taraf sosial mereka.
Persoalannya,
mampukah bahasa Melayu bangkit kembali menjadi bahasa yang perlu dipelajari
oleh semua orang? Ada dua jawapan kepada persoalan ini. Pertama, bahasa Melayu
harus digilap kembali sebagai bahasa ilmu. Kedua, bahasa Melayu harus bangun
sebagai bahasa ekonomi dunia. Bagi mencapai kedua-dua tahap ini orang
Melayu harus berubah menjadi bangsa yang menguasai ilmu dan ekonomi. Sejarah
kebangkitan bahasa Arab, bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu suatu ketika dahulu seperti yang saya tamsilkan pada bait-bait di atas boleh
dijadikan rujukan.
Wallahhuaklam.
Artikel ini pernah diterbitkan dalam Buletin Mangsi Adiwarna SMKS 2012
No comments:
Post a Comment