Wednesday, November 13, 2019

BAHASA MELAYU GLOKAL ~ Satu Kewajaran?


Sesekali Cikgu Zulk Menulis

BAHASA MELAYU GLOKAL ~ Satu Kewajaran?

-------------------------------
Suatu ketika dahulu heboh diperkatakan tentang Melayu glokal. Melayu glokal merujuk  orang Melayu yang mempunyai tahap pemikiran bertaraf dunia tetapi masih mengekalkan ciri-ciri lokal  dalam kehidupan seharian. Hal demikian bermaksud pemikiran, pandangan, idea serta kebolehan golongan Melayu glokal ini diterima serta menyaingi tokoh-tokoh ilmuan dunia. Namun demikian ciri-ciri kemelayuan dalam budaya, cara hidup, dan adat resam golongan Melayu glokal ini tetap utuh dan terpelihara.



        Sebut sahaja tentang orang Melayu maka tidak terlepas daripada bahasa pertuturan mereka yakni bahasa Melayu. Bahasa Melayu sudah sinonim dengan orang Melayu. Malah Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling ramai penuturnya di Asia Tenggara. Sama ada penutur-penutur ini menggunakannya sebagai bahasa ibunda atau bahasa kedua dan bahasa ketiga  yang pastinya jumlah penuturnya kian bertambah saban tahun.

        Suatu ketika isu PPSMI menimbulkan polemik yang agak besar dalam kalangan cendekiawan bahasa. Namun dasar baharu kerajaan (MBMMBI) meredakan kembali polemik tersebut. Penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan ialah usaha bagi meletakkan kembali Bahasa Melayu pada tempatnya.

        Bahasa Melayu bukan sahaja perlu dimartabatkan pada peringkal lokal, malah bahasa ini perlu mendapat tempat yang sewajarnya pada peringkat global. Namun apabila berada pada persada global sifat-sifat lokalnya perlulah dikekalkan bagi menjamin keasliannya. Hal yang demikian inilah saya istilahkan sebagai bahasa Melayu glokal. Glokal ialah akronim daripada perkataan global dan lokal. Global dalam Kamus Dewan Edisi 4 bermaksud meliputi, mempengaruhi, mengenai seluruh dunia manakala lokal dalam konteks ini bermaksud setempat. Tuntasnya bahasa Melayu glokal boleh didefinisikan sebagai bahasa Melayu yang diterima dan diguna pakai oleh komuniti global tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan ciri-ciri keasliannya atau ciri-ciri lokalnya.

        Mengglokalkan Bahasa Melayu memerlukan tempoh  yang berterusan serta melibatkan pelbagai pihak daripada kerajaan yang mentadbir sehinggalah individu-individu pencinta serta pengguna bahasa Melayu itu sendiri. Pihak kerajaan melalui DBP misalnya perlu merintis jalan bagi mengetengahkan bahasa Melayu di persada global. Antara usaha yang dirasakan paling berkesan adalah dengan menzahirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

       Bagi mencapai tujuan tersebut DBP harus mengumpul dan mencetak semula manuskrip-manuskrip dalam bahasa Melayu tentang kajian-kajian ilmiah dalam pelbagai bidang terutamanya kajian-kajian yang belum pernah dilakukan oleh sarjana Barat. Manuskrip-manuskrip tersebut boleh diketengahkan sebagai rujukan sarjana seluruh dunia yang secara tidak langsung dapat mengangkatkan martabat bahasa Melayu ke peringkat lebih tinggi.

        Selain itu,  pertandingan-pertandingan dalam bahasa Melayu  seperti pertandingan bahas ala parlimen  yang disertai komuniti antarabangsa seperti yang pernah dianjurkan oleh Kuala Lumpur perlu lebih kerap diadakan.    Pertandingan seperti ini merupakan satu promosi berkesan bagi mencapai tujuan tersebut.

        Peranan Dewan Bahasa Pustaka (DBP)  menambahkan perbendaharaan kata bahasa Melayu  sama ada melalui penciptaan perkataan baharu atau melalui  kata pinjaman patut dipuji. Usaha ini perlu bagi menjadikan bahasa Melayu lebih dinamik dan relevan menyusuri arus zaman. Bahasa yang kaku akan layu dan seterusnya akan hilang martabatnya pada mata dunia. Namun  dalam keghairahan menambah perbendaharaan kata, ciri-ciri keaslian bahasa Melayu itu sendiri perlu dikekalkan. Hal demikian  penting bagi merealisasikan konsep bahasa Melayu glokal itu sendiri. Persoalannya, adakah penambahan perbendaharaan kata terutamanya kata pinjaman daripada bahasa Inggeris mampu mempertahankan ciri-ciri lokal bahasa Melayu itu sendiri?

        Sekolah juga boleh berperanan bagi menzahirkan bahasa Melayu glokal ini.  SMK Sik. Yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bidang kebitaraan (kluster) dilihat tepat pada masanya. Boleh jadi ada kalangan yang berpendapat bahasa Melayu tidak akan dapat pergi lebih jauh terutamanya pada peringkat antarabangsa. Hal ini demikian berbeza dengan pengetua dan kulawangsa SMK Sik yang memandang ke hadapan. Tidak mustahil pada suatu hari nanti SMK Sik melalui bidang kebitaraan bahasa Melayunya akan dikenali masyarakat antarabangsa melalui perjanjian persefahaman (mou) dengan institusi-institusi pengajian di tujuh benua.

        Tuntasnya, menrealisasikan bahasa Melayu glokal mempunyai kewajaran yang amat tinggi. Persepsi terhadap bahasa Melayu glokal dapat mengubah weltanschauung  bangsa Melayu itu sendiri. Wallahhuaklam.


 Arkikel ini pernah diterbitkan dalam terbitan sulung buletin Mangsi Adiwarna SMKS Mei 2010


No comments:

Post a Comment

MANGSI ADIWARNA

KENALI PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

CORETAN TERPOPULAR